KUALA TERENGGANU - Mara akan memastikan penawaran kursus oleh institusi pendidikannya mempunyai nilai pasaran yang dapat memenuhi keperluan industri, kata pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh.
Sehubungan itu beliau berkata Mara mengambil tindakan drastik dengan menghapuskan kursus yang tidak lagi mempunyai permintaan di pasaran pekerjaan untuk mengelak pelajar mengganggur selepas tamat pengajian.
"Perkara ini amat penting dilakukan memandangkan Mara acap kali dikejutkan dengan berita pengangguran siswazah yang begitu ramai sehingga mencecah puluhan ribu di seluruh negara saban tahun.
"Justeru itu saya telah mengarahkan agar kursus yang ditawarkan perlu dipantau dan disesuaikan mengikut arus perdana semasa negara seiring dengan kejayaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA) melalui Pelan Transformasi Ekonomi Negara," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Karnival Pendidikan Mara 2012 selama dua hari bermula hari ini di Pusat Dagangan Terengganu di sini. - Bernama